• 07 Mei 2024 | 28 Syawal 1445

Bapa Empat Anak Jual Donut 10 Sen




KUALA TERENGGANU, 21 Januari-  Seorang bapa kepada empat anak memanfaatkan masa terluang pada waktu malam dengan menjalankan perniagaan sambilan menjual kuih donut berharga 10 sen sebiji.

Peniaga itu Idham Syafiq Darmilus, 31, menjaja donut yang dihasilkan sendiri kuih menggunakan motosikal di sekitar bandar raya ini sejak seminggu lalu dan mendapat sambutan menggalakkan kerana harganya yang murah.

"Saya berniaga sambil beramal, jual murah kerana saya memahami kesempitan hidup orang yang mempunyai keluarga besar," katanya ketika ditemui di Jalan Sultan Ismail di sini, semalam.

Idham berkata, dia gembira dapat menjalankan perniagaan yang membantu meringankan beban orang ramai.

"Saya daripada keluarga yang susah dan sekarang juga masih susah justeru sangat memahami perasaan orang yang susah.

"Apabila saya menjual donut dengan harga yang murah itu ia secara tidak langsung membantu pelanggan yang mempunyai anak yang ramai.

"RM2 dan dapat 20 biji donut, justeru cukup untuk mereka yang mempunyai ramai anak," katanya yang tinggal di Kampung Jalan Banggol.

Tambahnya, dia berniaga donut itu sejak 2016 di Kampung Telipot dan mempunyai gerai sendiri dengan jualan sebanyak 1,000 hingga 1,500 biji donut sehari.

"Memandangkan gerai itu diambil alih oleh pemiliknya, saya terpaksa berpindah ke Jalan Banggol dan berkerja di kedai makan bapa di situ.

"Isteri, Esah Ali, 35, dan empat anak berusia tujuh bulan hingga 15 tahun terpaksa tinggal di rumah bapa mertua di Dungun untuk sementara waktu.

"Saya berniaga sekarang mengumpul modal untuk menyewa rumah dan membuka gerai donut sendiri dan membawa ahli keluarga tinggal bersama," katanya.


 Menurutnya, dia berniaga donut dengan motosikal di Jalan Sultan Ismail itu sejak seminggu yang lalu.

"Saya bersyukur kerana donut saya laris dan dalam tempoh setengah jam sahaja sebanyak 400 hingga 500 biji donut terjual.

"Keyakinan saya ialah, apabila kita meringankan beban orang lain dengan niat yang ikhlas, Allah akan membantu memberikan kemudahan dalam segala kerja yang dilakukan," katanya.


Tag: