• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Bapa Maut Anak Cedera Dalam Kemalangan

Supritendan Mohd Said Ibrahim
Seorang bapa maut manakala anaknya cedera setelah kereta yang dipandunya terbabas sebelum terbalik di Kilometer 108, Jalan Kuala Terengganu - Kuantan, berhampiran Kampung Labohan, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 8.45 pagi itu, Mohd Badrul Ridhzuan Rosman, 27, yang memandu kereta jenis Proton Saga FLX, maut di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah di kepala manakala anaknya yang berusia setahun, Muhammad Attar Badrul Ridhzuan, cedera ringan dalam kejadian tersebut.



Mohd Badrul Ridhzuan Rosman

Ketua Polis Daerah, Supritendan Mohd Said Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan kejadian tersebut.

Menurutnya, kejadian berlaku di satu laluan lurus dan ketika kejadian, mangsa dari arah Bandar Paka, Dungun, menuju ke Kemaman setelah selesai menghantar isterinya yang bekerja di sana.

"Mangsa dalam perjalanan pulang ke kediamannya dan anaknya duduk di bahagian belakang tempat duduk penumpang ketika kejadian.

"Setiba di lokasi kejadian, kereta yang dipandu mangsa terbabas ke arah pembahagi jalan sebelum terbalik," katanya.

Menurutnya, mangsa dan anaknya dikatakan tercampak keluar sejauh beberapa meter dari kereta yang terbalik itu.

Keadaan kereta milik mangsa yang rosak teruk dalam kemalangan tersebut.
Mohd Said berkata, sepasukan anggota perubatan yang tiba tidak lama kemudian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia manakala anaknya dibawa ke Klinik Kesihatan Kerteh untuk rawatan lanjut.

"Kanak-kanak tersebut mengalami kecederaan ringan dan sudah diberikan rawatan sebagai pesakit luar di klinik terbabit," katanya.

Mohd Said berkata, kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan ( APJ ) 1987.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat dan urusan pengebumian.

Tag: