• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Batik Warnai Hari Terakhir Persidangan DUN Terengganu

KUALA TERENGGANU, 18 November – Buat kali pertama persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu diwarnai dengan corak batik sekali gus memaparkan komitmen kerajaan negeri dalam memartabatkan identiti budaya negeri.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Haji Yahaya Ali berkata, pembaharuan tersebut berdasarkan peruntukan dalam perkara 121A (1) Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap DUN.

“Kita sebagai pengeluar utama batik di Malaysia, kita selaraskannya sama seperti di parlimen yang turut mempromosikan budaya ini.

“Dalam waktu yang sama, kita boleh membantu industry ini bangkit kembali setelah mengalami kesan ekonomi pandemik COVID-19.

“Ini adalah penambahan kedua selepas pakaian ‘mandarin collar’, termasuk penambahan baju melayu lengkap dan long sleeve,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas  Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Keempat Belas (Bajet) di Dewan Undangan Negeri (DUN), Wisma Darul Iman, pada hari ini.

Tambahnya, antara penambahbaikan terhadap sidang dun yang telah dipraktikan seperti penggabungan soalan Ahli Yang Berhormat (AYB) supaya isu berbangkit daripada dewan tidak berulang.