• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Bawa Perkhidmatan Awam Negeri Ke Dimensi Baru

KUALA TERENGGANU, 9 Januari- Setiausaha Kerajaan Terengganu, Yang Berhormat Mulia Tengku Seri Bijaya Raja menyeru ketua jabatan untuk bersama-sama beliau membawa perkhidmatan awam negeri Terengganu ke dimensi baharu.

Katanya, selaras dengan saranan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali yang menuntut perubahan dari gaya lama ke gaya baharu, ketua jabatan perlu manfaatkan teknologi dalam pentadbiran harian di jabatan seperti urusniaga, khidmat nasihat dan temujanji secara ‘online’.

“Birokrasi itu perlu untuk kawalan dan menjaga mutu, tetapi boleh dikurangkan untuk mempermudahkan urusan rakyat. 

“Kita juga harus bersikap terbuka untuk menerima kritikan. Di zaman “kerajaan netizen” ini banyak kelemahan pentadbiran dibongkarkan dan salah laku dipertontonkan di media sosial. Justeru, sama-samalah kita menjaga perilaku, tatacara kerja dan sebagainya agar kita tidak diperkecilkan oleh orang awam,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 Bersama Ketua-Ketua Jabatan Negeri Terengganu Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.

Turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri, Zainal Abidin Mohamed; Pengarah Tanah dan Galian Negeri, Shahidan Embok; Pengarah Pembangunan Negeri, Dato’ Indera Nik Nasarudin Mohd Zawawi dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Tun Ahmad Faisal Tun Abd Razak. 

Menurutnya, sebagai Setiausaha Kerajaan, beliau berbangga dengan pencapaian yang ditunjukkan semua agensi di negeri ini yang telah memberikan impak baik dan memainkan peranan masing-masing di pelbagai peringkat. 

“Saya berharap semua agensi dapat mengekalkan prestasi ini, malah jika boleh ditingkatkan lagi usaha di setiap lapisan demi menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Untuk sentiasa maju ke hadapan dan berjaya, kita perlu sentiasa menyahut cabaran dan keluar daripada zon selesa. Dengan ketidaktentuan situasi semasa, mahu tidak mahu kita sebagai penjawat awam juga perlu mengadaptasi kepada persekitaran semasa dengan norma baharu sehingga penularan COVID-19 ini dapat dikekang sepenuhnya,” ujarnya.

Beliau turut menitipkan pesanan agar penjawat awam sentiasa mengingati frasa ‘Saya Yang Menjalankan Amanah’. 

“Harus ditanam di dalam jiwa kita untuk mengamalkan budaya kerja Islam dengan meletakkan sifat-sifat mahmudah suatu keutamaan dan menolak sifat-sifat mazmumah yang boleh merosakan jiwa kita,” katanya.