• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Bawa Suara 600,000 Wanita Seluruh Terengganu - Hajah Zuraida


Oleh: Aslam Wira

MARANG, 12 Disember - Suara kira-kira 600,000 wanita seluruh Terengganu akan terus saya dengari dan perhalusi untuk memenuhi keperluan dan kebajikan mereka yang memerlukan pembelaan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Hajah Zuraida Mohd Noor.

Menurutnya, sejurus dilantik sebagai ADUN baru-baru ini, beliau dihujani pelbagai soalan berhubung peranan dan kawasan perkhidmatan sebagai wakil rakyat.


"Bermulanya lantikan itu, saya telah dikunjungi oleh wanita tidak kira tua atau muda dengan pelbagai isu, jadi saya akan menyuarakan hak dan masalah mewakili mereka untuk saya ketengahkan kepada pihak yang bewajib,” katanya ketika berucap merasmikan program Dana Agihan Baju Persekolahan DUN Rhu Rendang di Dewan Sivik Seberang Marang, di sini, hari ini.


Turut serta, Penyelia i-MiTS Rhu Rendang, Haji Mohamad Embong, Pegawai Seranta Hal Ehwal Wanita i-MiTS Terengganu, Faridah Omar dan Ketua Pemuda Pas DUN Rhu Rendang merangkap pengarah program, Mohammad Aswadi Mohamad dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung.
(MPKK) DUN Rhu Rendang.

Bermula 10 sehingga 16 Disember ini, lebih 4,200 pelajar di seluruh DUN itu menerima baucer bantuan pakaian sekolah yang diagihkan menerusi MPKK masing-masing.

Menurut Zuraida lagi, sebagaimana dasar kerajaan baru, pihaknya akan terus mengkaji program yang baik seperti itu selain menambah baiknya untuk kepentingan rakyat Terengganu.

Malah, kerajaan negeri juga memperuntukkan sebanyak RM12 Juta untuk Dana Bantuan Persekolahan ini yang merangkumi 116,000 pelajar di seluruh Terengganu sebagai langkah positif bagi meringankan beban ibu bapa untuk persiapan persekolahan bagi sesi 2019 nanti.




Tag: