• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Bayar Awal Premium Tanah, Cepat Dapat Hak Milik

HULU TERENGGANU, 5 Januari - Kerajaan negeri mengingatkan penerima Borang 5A supaya menjelaskan bayaran premium harga tanah dalam tempoh tiga bulan seperti yang ditetapkan supaya tidak merugikan mereka.

Pegawai Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu, Muhyiddin Abdul Rashid berkata, bagaimanapun kelonggaran diberikan kepada rakyat berpendapatan rendah yang memperolehi tanah kerajaan.

"Selepas menerima Borang 5A, penerima perlu membuat bayaran premium harga tanah dalam tempoh tiga bulan, bagi yang kurang berkemampuan tempoh bayaran dilanjutkan sehingga tiga bulan lagi. Sebaik selesai membuat pembayaran premium harga tanah, barulah kerajaan akan menyerahkan surat hak milik tanah.

"Premium tanah akan dikira berdasarkan 10 peratus daripada harga nilaian sebenar tanah yang dipohon dan diluluskan kerajaan," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Borang 5A Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) membabitkan Lot Rumah Generasi Kedua Felcra Bukit Kepah kepada 79 penerima, Padang Ragut Kampung Tapah (79) dan RTB Pertanian Bukit Nyiur (32), Mukim Jenagor di Dewan Besar Majlis Daerah Hulu Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim serta Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong, Mohd Safari Abu.

Beliau yang juga merangkap Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Terengganu, berkata, pemilikan tanah bukan sesuatu yang mudah diperoleh malah prosesnya turut mengambil masa sehingga ada yang terpaksa menunggu puluhan tahun.

“Ini adalah komitmen berterusan kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu berkaitan hak milik tanah dan fokus utama kita adalah untuk menyelesaikan masalah pemilik tanah RTB yang diambil tanah mereka pada 2004 dan ke atas selepas berlakunya perubahan pentadbiran kerajaan negeri ketika itu.

"Pada masa sama kita juga cuba menyelesaikan isu-isu pemberian hak milik tanah yang lain," ujarnya.