• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Bayar Saman, Jangan Tunggu Saat Akhir

KUALA TERENGGANU, 14 Disember - Orang ramai dinasihatkan untuk tidak menunggu saat akhir untuk membayar saman kesalahan trafik bagi mengelakkan berlaku kesesakan di kaunter pembayaran susulan pengumuman lanjutan tempoh diskaun bagi pembayaran saman berkenaan. 

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Terengganu, Superintendan Ismail Man berkata  lanjutan tempoh potongan 80 peratus harga saman sehingga 31 Disember ini adalah bertujuan mengelak daripada orang ramai beratur panjang dan berlaku kesesakan di kaunter.

“Oleh itu, PDRM meminta orang ramai tidak menunggu saat akhir untuk melunaskan bayaran berkenaan.Ambillah peluang dan kesempatan ini untuk melunaskan saman dalam keadaan selesa, tidak perlu beratur panjang.

“Rancang pembayaran saman mengikut kemampuan anda sama ada di kaunter mahu pun secara dalam talian atau di mesin pengeluaran wang (ATM) Maybank,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tentang lanjutan tempoh potongan harga saman trafik yang diumumkan kerajaan menyebabkan kaunter pembayaran di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, di sini, lengang.

Tidak sebagaimana dalam tempoh empat hari baru-baru ini, , kaunter bayaran penuh sesak menyebabkan orang ramai terpaksa beratur panjang untuk membuat bayaran kerana tidak mahu terlepas peluang dengan potongan harga yang diberikan.

Dalam tempoh tersebut, Polis Kontinjen Terengganu berjaya membuat kutipan bayaran saman sebanyak RM6.09 juta membabitkan 371,042 saman di kaunter bayaran di seluruh kontinjen negeri.