• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Bayaran BPR Fasa 3 Dikreditkan Selasa Ini

KUALA LUMPUR, 26 September - Seramai 3.6 juta penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) Keluarga Malaysia Fasa 3 termasuk mereka yang diluluskan permohonan rayuan bakal menerima bantuan itu, mulai Selasa ini secara berperingkat melibatkan peruntukan berjumlah RM2.82 bilion.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembayaran itu akan dikreditkan ke dalam akaun penerima isi rumah dalam tempoh tiga hari sehingga 30 September ini memanfaatkan penerima sedia ada kategori isi rumah dan pemohon rayuan BPR yang telah diluluskan.

Menurutnya, bagi fasa tiga, setiap penerima bakal memperoleh sehingga RM1,400 manakala penerima bayaran rayuan BPR akan menerima sehingga RM2,300.

“Ini termasuk bayaran BPR tambahan di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa+) bernilai sehingga RM500 bagi setiap penerima mengikut kategori kelayakan masing-masing iaitu berdasarkan status perkahwinan, jumlah pendapatan isi rumah dan bilangan anak,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, pembayaran fasa tiga ini adalah penyaluran penuh baki nilai yang sepatutnya diterima penerima dan rayuan BPR untuk meringankan beban mereka.

“Kerajaan terus komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia, terutamanya nasib kumpulan sasar yang terjejas akibat pandemik Covid-19 sentiasa terbela,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, beberapa bantuan tunai lain seperti Bantuan Khas Covid-19 (BKC) dan Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP) akan diberikan kepada penerima yang layak dan akan disalurkan pada Oktober hingga Disember 2021.

Penerangan lanjut berhubung pembayaran BPR Fasa 3 ini akan diperincikan Kementerian Kewangan melalui portal rasmi BPR  iaitu https://bpr.hasil.gov.my untuk mendapatkan maklumat lanjut.