• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Bayaran Pinjaman Rumah Tak Lebih RM300 Sebulan

KUALA NERUS, 29 November - Bayaran balik pinjaman Tabung Pinjaman Perumahan Rakyat Negeri Terengganu dijamin tidak melebihi RM300 sebulan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, pihaknya kini sedang memperincikan perkara itu dengan pelbagai pihak termasuk pihak bank.

Katanya, kelulusan maksima dan bagaimana untuk memohon sama ada melalui bank atau melalui Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (Unit Perumahan) akan dimaklumkan kemudian.

“Kerajaan mewujudkan tabung ini bagi memudahkan urusan rakyat memiliki rumah sendiri, di mana sebelum ini diakui agak sukar mendapat kelulusan bank kerana tidak cukup syarat terutama berkaitan tangga gaji.

“Dengan kaedah yang diperkenalkan itu, mana-mana isi rumah yang belum memiliki rumah sendiri, mempunyai tanah dan berpendapatan RM5,000 ke bawah layak memohon,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau kemajuan Projek Rumah Pangsapuri Mampu Milik (RPMM) di Kampung Tok Jembal, di sini, hari ini.

Dalam pembentangan Belanjawan 2021 Terengganu baru-baru ini, kerajaan meluluskan peruntukan RM50 juta bagi tujuan itu dan ia termaktub dalam manisfesto PAS dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Berkaitan projek RPMM itu, Dr Alias memberitahu, kemajuan projek 160 unit rumah setinggi empat tingkat membabitkan lima blok itu hanya 30 peratus kurang ena peratus daripada sasaran awal.

Katanya, ia mengalami kelewatan berbanding jangkaan siap pada Mei tahun depan.

“Alasan diberikan, berdepan dengan musim tengkujuh dan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Disebabkan itu, kita memberikan tempoh lanjutan pembinaan sehingga September tahun depan,” katanya.

Menurutnya, sebagai pilihan dan untuk menjimatkan masa, pihak kontraktor mengunakan Sistem Bina Berindustri atau turut dikenali Rumah Pasang Siap.

“Difahamkan langkah itu mampu menjimatkan masa sehingga tujuh kali ganda berbanding secara konvensional,” katanya.

 


Tag: