• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Bazar Abdul Rahman Bin Auf Tingkat Pendapatan Peniaga Kecil

DUNGUN, 1 Februari- Kewujudan Bazar Abdul Rahman Bin Auf diharap dapat meningkatkan pendapatan peniaga kecil di Pasar Besar Dungun.

Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata, dengan adanya bazar yang bernilai RM 608,263 itu akan merancakkan lagi ekonomi di daerah Dungun. 

"Saya juga mengharapkan semua pihak yang ingin membuka ruang - ruang perniagaan dan kiosk - kiosk di Dungun ini, melibatkan kepentingan yang diurus oleh Majlis Perbandaran Dungun (MPD), di mana kehendak perniagaan itu dipenuhi," katanya.

Wan Hassan berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Bazar Abdul Rahman Bin Auf di perkarangan Pasar Besar Dungun di sini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik, ADUN Rantau Abang, Alias Harun dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Dungun, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim.

Sementara itu Huzairil berkata, bazar yang menempatkan 20 unit kedai itu telah memulakan operasi awal Januari lalu.

"Bazar ini didirikan hasil daripada kutipan MPD yang datangnya daripada komitmen, sumbangan dan apa jua bayaran yang merupakan hasil pendapatan daripada warga Dungun.

"Jadi kita mengharapkan dengan kemudahan yang disediakan oleh MPD dan kerajaan negeri ini akan merancakkan ekonomi selepas pasca pandemik COVID-19 sekali gus mengembalikan pendapatan seluruh peniaga Dungun, " katanya.

Rahimah Abdul Rahim 

Sementara itu, seorang peniaga Rahimah Abdul Rahim, 49, berkata, dia yang sebelum ini menyewa di tingkat atas Pasar Besar Dungun sangat gembira terpilih untuk berniaga dibazar berkenaan.

"Harap-harap dengan berniaga di bazar baru ini akan dapat meningkatkan hasil jualan dan pendapatan," katanya yang telah 20 tahun berniaga di tingkat atas Pasar Besar Dungun.


Tag: