• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Bazar Aidilfitri Ditutup 10 Malam Hari Ini

KUALA TERENGGANU, 11 Mei – Operasi bazar aidilfitri di Terengganu ditamatkan pada jam 10 malam tadi susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan bermula esok.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, keputusan itu diambil sebagai langkah yang lebih tegas dan ketat bagi mengekang penularan wabak COVID-19 dalam negeri.

“Bazar Aidilfitri sebelum ini sudah diputuskan untuk tutup sehari sebelum raya.

“Para peniaga bazaar Aidilfitri masih ada peluang untuk meneruskan perniagaan sehingga malam ini dan kita harap mereka dapat mematuhi arahan tersebut.

“Namun begitu, bagi bazar Ramadan, tarikh akhir operasi yang dibenarkan adalah sehingga jam 7 malam esok (Rabu),” katanya ketika dihubungi Urus setia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini.

Jelasnya, penguatkuasaan tersebut adalah berdasarkan keputusan Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Terengganu sebelum ini.

“Peraturan ini melibatkan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) daerah kecuali Besut,” katanya lagi.

Beliau turut menasihati kepada para pengunjung supaya mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) di bazar dengan menjaga penjarakan sosial serta menghindari daripada aktiviti berkumpul beramai-ramai.