• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Bazar Ramadan : Terengganu Lulus 63 Lokasi Seluruh Negeri

KUALA TERENGGANU, 22 Mac – Kerajaan negeri meluluskan 63 lokasi bazar Ramadan bagi tahun ini di semua daerah melibatkan 5,342 orang peniaga. 

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata berlaku peningkatan permohonan lesen berniaga di bazar berbanding tahun lepas.

“Pada tahun 2020, seramai 4,781 peniaga bazar Ramadan yang berdaftar dengan kerajaan manakala bagi tahun ini meningkat seramai 5,342 orang.

“Berlakunya peningkatan dalam 12 peratus kerana ekonomi kembali stabil serta wujudnya peniaga baru selepas kelonggaran diberikan pihak kerajaan,” kata beliau dalam temubual hari ini. 

63 lokasi bazar yang diluluskan itu melibatkan tujuh kawasan di Kemaman, Marang (lima), Kuala Nerus (10), Kuala Terengganu (16), Dungun (lima), Setiu (enam) dan Besut (10)

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri masih mengekalkan prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan pihak kerajaan pusat selagi belum arahan baru dikeluarkan.

“Setakat hari ini, kita masih menggunakan SOP sebelum ini namun kita sedang menanti SOP yang akan dikeluarkan kerajaan pusat dalam masa terdekat.

“Kita berharap rakyat terus menjaga SOP bagi membendung penularan Covid-19 walaupun kelonggaran akan diberi kelak,” tambah beliau.


Tag: