• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Beg Terbesar Dunia Di PB Square 27 Julai-5 Ogos


Pameran seni jahitan kreatif anjuran Persatuan Seni Jahitan Kreatif (PSJK) dengan usahasama Pusat Latihan Kraftangan Epal dan UTC Paya Bunga Square bagi memperkenalkan cabang jahitan dan seni kreatif kepada masyarakat.
Antara karya seni jahitan kreatif yang dipamerkan bermula 27 Julai sehingga 5 Ogos ini, di UTC Paya Bunga Square adalah beg terbesar di dunia yang diiktiraf oleh Guinness World of Records, Patchwork dan lain-lain lagi.

Menurut Penggerusi PSJK, Fully Chye Goet Lee, pameran ini dianjurkan untuk memberikan pendedahan kepada masyarakat tentang kekuatan bidang jahitan kreatif disamping memberikan keyakinan bahawa bidang ini dapat membantu sesiapa sahaja yang memerlukan untuk membina kehidupan yang lebih baik.

“Bidang seni jahitan kreatif mempunyai pengertian yang lebih luas dan mampu menghasilkan pelbagai karya yang tidak terikat dengan satu-satu jenis sahaja malah berpeluang menjana pendapatan melalui bidang ini secara berterusan,”katanya.


Majlis dirasmikan oleh isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Halina Zakaria.
Halina turut menyeru semua masyarakat untuk mengambil peluang dan berani mencuba sesuatu yang baru untuk mencapai kejayaan.
“Untuk mencapai kejayaan ini kita perlulah bijak mencari peluang dan memanfaatkan peluang tersebut dengan sebaik mungkin. Hindarilah dari rasa takut dan perlu memberanikan diri untuk mencuba sesuatu yang baharu,” katanya.


Pameran ini juga dimeriahkan dengan PSJK Handmade Market yang membuka kaunter jualan produk seni jahitan kreatif.
PSJK Handmade Market merupakan satu platform yang dibangunkan oleh persatuan berkenaan untuk membantu sekumpulan masyarakat yang terdiri dari golongan ibu tunggal, golongan kurang upaya, pesara, suri rumah dan belia membina kehidupan yang lebih baik melalui bidang kemahiran dan keusahawanan.

Tag: