• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Bekalan Air Kuala Terengganu Dijangka Pulih Esok

KUALA TERENGGANU, 2 April - Gangguan bekalan air melibatkan 30 kawasan utama di Kuala Terengganu sejak Jumaat lalu dijangka pulih esok.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (Satu), Ts. Abdul Karim Endut dalam satu kenyataan berkata, gangguan tersebut disebabkan paip pecah di Pulau Kambing yang melibatkan tangki Bukit Kecil.

Menurut beliau, pada 1 April 2022, paip berukuran 413 mm telah dikesan pecah dan kerja-kerja pembaikan segera dilakukan serta siap dilaksanakan pada jam 12 malam. 

Walau bagaimanapun katanya, paip kedua berukuran 600 mm yang terletak di lokasi berbeza iaitu lebih kurang 50 meter daripada jarak paip pertama telah dikesan pecah pada 2 April 2022.

"Kerja-kerja pembaikan paip berukuran 600 mm masih berjalan sehingga kini dan jangkaan bagi masa bekalan air pulih sepenuhnya di kawasan-kawasan yang terjejas adalah pada 3 April 2022 pada jam 7.30 malam.

"Bekalan air akan pulih secara berperingkat dan tempoh masa pemulihan bekalan air kepada pengguna adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, bekalan air tidak berjadual yang sering berlaku melibatkan tangki Bukit Kecil ini akan menemui penyelesaian apabila pengoperasian Loji Rawatan Air Baharu (LRA) Losong 44 JLH bermula pada Mei 2022.

"Kini kerja-kerja pembinaan LRA Losong berkapasiti 44 JLH kini berada di fasa terakhir dengan peratus pelaksanaannya sebanyak 99.8 peratus.

"Dengan bermulanya operasi LRA Losong 44 JLH, masalah bekalan air yang sering terjadi di Bukit Kecil akan dapat diatasi dalam jangka masa yang panjang sehingga tahun 2030," ujarnya.

Sementara itu, sebanyak enam buah lori tangki air dan 13 buah tangki statik sedang digerakkan secara berperingkat ke kawasan-kawasan yang terjejas, dengan memberi keutamaan kepada premis-premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melawati laman sesawang
www.satuwater.com.my, aplikasi MySATU, Facebook, Instagram, atau
hubungi careline di talian 1300-88-2111 jika pengguna mempunyai sebarang pertanyaan dan aduan.