• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Bekalan Air Terputus, Semua Pihak Berganding Bahu

SETIU, 6 Ogos - Prihatin dengan nasib para penduduk di Batu Rakit yang terputus bekalan air bersih, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir sejak semalam turun padang ke lokasi terjejas bagi menghulurkan bantuan air bersih.

Pelbagai inisiatif diambil dengan kerjasama banyak pihak dalam membantu penduduk untuk mendapatkan bekalan air bersih termasuk menghantar air bersih menggunakan lori dan pacuan empat roda.

Beliau berkata, pembahagian air di satu-satu tempat dilakukan setelah berbincang dengan pelbagai agensi kerajaan seperti Syarikat Air Terengganu (SATU), Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat yang menyalurkan bantuan untuk dibuat penyelarasan.

“Ini supaya tidak berlaku pertembungan dua pihak dalam pengagihan air di satu-satu tempat. Hal ini penting supaya tidak ada tempat yang terlepas dalam menerima bekalan air ini.

"Insya-Allah di waktu sukar ini, pihak kami dan semua agensi terlibat akan berganding bahu dan tenaga untuk memudahkan urusan penduduk," jelasnya keapda Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).

Selain itu katanya, kerajaan negeri menerusi Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Hanafiah Mat turun menggerakan misi bantuan.

Shaharizukirnain berkata, ADUN Chukai menyalurkan sebanyak 2,000 lebih kotak air mineral untuk kegunaan penduduk Batu Rakit yang terputus bekalan air.

“Tindakan seterusnya adalah pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) akan agihkan ke rumah-rumah penduduk. Jangan bimbang, Insya-Allah ia akan diagihkan secepatnya nanti,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Shaharizukirnain bersama Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah turut mengagihkan air minuman kepada penduduk sekitar Taman Melor, Taman Perumahan Wakaf Tengah, Gong Awang Lib yang agak terkesan dengan krisis air yang berlaku sekarang ini.

Tambahnya lagi, beliau berterima Kasih kepada pihak Kerajaan Negeri, Ketua-Ketua Jabatan dan semua yang terlibat secara lansung atau tidak lansung dalam membantu dan menyalurkan bantuan 

“Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak PAS Kawasan Kuala Terengganu, Khidmat Malaysia Setiu, Jabatan Amal Setiu, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Batu Rakit, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Alternative Riding Club (ARC), para penyumbang dan kepada semua petugas di semua peringkat yang menyediakan perkhidmatan pembahagian air kepada penduduk sekitar,” tambahnya.


Tag: