• 08 Mei 2024 | 29 Syawal 1445

Bekalan Ikan Negara Mencukupi - Ronald

SETIU, 23 Jun – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memberi jaminan bahawa stok bekalan ikan negara ketika ini mencukupi bagi menampung keperluan rakyat.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata walaupun stok bekalan ikan negara bergantung kepada faktor cuaca tetapi pendaratan ikan semasa ketika ini tidak mempunyai masalah serta berlebihan. 

“Kita tidak  berhadapan dengan masalah bekalan bagi  komoditi ikan. Kadang ikan berlebihan dan ada ketika ikan kurang yang menyebabkan harga turun naik.Ketika musim ikan banyak, tentu sekali harga turun dan sebaliknya jika kurang maka harganya akan naik,”ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Hari Peladang, Penternak, dan nelayan Tahun 2022 Peringkat Negeri Terengganu, di Dataran Pekan Jabi, Besut, Terengganu. 

Tambah Ronald, pihaknya sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang gangguan dalam rantaian makanan sama ada jangka pendek atau panjang kerana isu jaminan bekalan makanan negara antara isu yang di beri perhatian rapi.

"Isu inflasi makanan yang dialami negara merupakan fenomena global dan negara kita juga tidak terkecuali.

"Kita juga tidak berdepan masalah bekalan ikan dan faktor turun naik harga ikan ditentukan berdasarkan faktor penawaran serta permintaan pasaran," katanya.

Untuk rekod, bagi tahun 2022, Kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan MAFI, telah memperuntukkan 43.5 juta ringgit kepada Negeri Terengganu untuk melaksanakan pelbagai projek, program, dan inisiatif, merentasi semua subsektor termasuk padi dan beras, perikanan, tanaman dan ternakan.