• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Bekalan Telur Pulih Dalam Masa Terdekat

HULU TERENGGANU, 6 Februari  - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan telur ayam dalam pasaran akan kembali pulih dalam tempoh terdekat.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, jaminan tersebut dibuat hasil pemantauan, pemeriksaan dan kutipan data daripada 50 syarikat yang mewakili 80 peratus pengeluaran telur di seluruh Malaysia,

"Kekurangan telur ayam disebabkan beberapa faktor termasuk peningkatan pembelian sebelum, semasa dan selepas cuti Tahun Baharu Cina yang dijadikan stok selain masalah logistik di ladang kerana cuti panjang menyebabkan wujud masalah penghantaran.

"Jaminannya minggu akhir Februari isu ini akan selesai," katanya kepada pemberita selepas meninjau ke Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Dataran Pasar Tani, Kuala Ping, Kuala Berang di sini, hari ini.

Rosol juga berkata, berdasarkan pemantauan sehingga 3 Februari lalu, sebanyak 91 peratus kesediaan bekalan telur ayam ada dalam pasaran negara dan jumlah stabil serta mampu memenuhi keperluan harian rakyat.

Dalam perkembangan yang sama, beliau menambah selain telur ayam, bekalan ayam mentah yang turut berdepan masalah kekurangan stok atas faktor sama juga dijangka selesai akhir bulan ini.

Katanya, pihak kementerian telah mengarahkan para pembekal dan pengusaha ladang ternakan ayam, untuk mengemukakan laporan jumlah stok bekalan ayam secara mingguan bagi membolehkan langkah segera diambil sekiranya bekalan bahan makanan itu berkurangan.

"Memang data menunjukkan pada Februari kita kekurangan tiga juta ekor ayam. (Kebiasaannya) Kita menggunakan untuk satu hari sebanyak dua juta ekor ayam, ertinya sebulan (sebanyak) 60 juta ekor. (Tetapi) bekalan ayam pada Februari memang kekurangan iaitu hanya sebanyak 57 juta ekor.

"Februari ini dijangka lebih 60 juta pengeluaran ayam, jadi bulan ini juga selesai isu ini," katanya.

Jelas beliau, secara purata rakyat Malaysia menggunakan sekitar 30 juta biji telur ayam sehari dan 60 juta ekor ayam sebulan.