• 17 Apr 2024 | 8 Syawal 1445

Bekas Pengetua SMK Padang Midin Dinobatkan Tokoh Guru Terengganu 2022

KUALA NERUS, 19 Mei - Bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin dinobat sebagai Tokoh Guru Negeri Terengganu 2022 sempena Hari Guru Negeri Terengganu, hari ini.

Zah Mohamad, 63, yang bersara selepas 35 tahun bergelar pendidik berkata, beliau sama sekali tidak menyangka terpilih menjadi penerima anugerah itu memandangkan sudah tiga tahun meninggalkan kerjaya itu.

“Anugerah ini saya dedikasikan buat sekolah terakhir saya, SMK Padang Midin, yang banyak meninggalkan kenangan terbaik serta pencapaian tertinggi semasa masih bergelar pengetua di sana.

“Sekolah yang amat bermakna buat saya dan sehingga kini saya masih berhubung dengan guru-guru dan pelajar di sana," katanya.

Majlis penyampaian anugerah disempurnakan Menteri Besar Terengganu, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Dengan penganugerahan itu, Zah yang juga kepada ibu kepada empat anak itu menerima wang tunai RM5,000, kalong, selempang, persalinan songket, jam tangan, plak dan sijil penghargaan.

Tambah beliau lagi, antara resepi utamanya sejak bergelar guru pada tahun 1984, dia mengamalkan prinsip ikhlas mengajar dan mengasihi anak murid seperti seorang ibu mengajar anak sendiri

Selepas bersara, Zah kini menyumbang kepakaran menulis buku dan aktif berpersatuan sebagai Setiausaha Kehormat Majlis Pengakap Terengganu selain Naib Pengerusi, Penglibatan Ibubapa, Komuniti dan Sektor Swasta (PIBKS) Kuala Terengganu.