• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Bekas Pramugari Kongsi Pengalaman Bawa Jemaah Haji

KUALA TERENGGANU, 21 Oktober-  Bekas pramugari, Wan Najwa Baharom cukup bersyukur diberikan peluang untuk menjadi salah seorang anak kapal sebuah syarikat penerbangan yang membawa jemaah haji dan umrah dari seluruh dunia ke Kota Mekah.

Ketika diminta berkongsi pengalamannya yang tidak lagi bertugas sebagai kru kabin syarikat penerbangan selepas kontraknya tidak disambung majikan disebabkan pandemik COVID-19, antara yang tidak dapat dilupakan anak jati Kampung Batas Baru, Kuala Terengganu itu adalah pengorbanan untuk menunaikan rukun Islam yang kelima itu oleh jemaah haji dari benua Afrika yang cukup menyentuh hatinya.

“Pernah dengar ke nama tempat macam Maiduguri? Freetown Lungi? Addis Abba? Djamena atau Abuja?, kalau bawa jemaah haji dari tempat ni macam-macam akan kami lalui sepanjang penerbangan.

"Kebanyakan jemaah dari tempat tersebut hidup mereka sukar bukan bertuah seperti kita di bumi Malaysia.

“Sebelum berangkat ke tanah suci segala harta, rumah, tanah digadai dan dijual atas niat dan kesungguhan hendak menunaikan ibadat haji, dan sebaik sampai ditanah suci, ada yang hanya tidur di masjid dan bukannya hotel yang selesa," ujarnya ketika dihubungi wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini.

Selain itu katanya, lapangan terbang di tempat-tempat berkenaan tidak sebagaimana negara maju yang dilengkapi sistem serta kemudahan yang lebih baik dan moden.

"Sangat menyentuh hati semasa melihat mereka menerima hidangan yang disediakan diatas kapal, mereka sangat berbudi pekerti malah hanya tunduk dan senyum kepada kami,” ujarnya.

Katanya, sepanjang enam tahun berkhidmat, pelbagai pengalaman pahit manis telah ditempuhinya di awan biru dan detik itu tidak akan sesekali dilupakan.

"Antara perkara yang paling tidak dapat dilupakan ketika menjadi kru penerbangan adalah sebaik tiba di kota suci Mekah. Bilamana jemaah ucap terima kasih bersama doa adalah detik yang sangat indah.

“Pada saya doa adalah hadiah yang paling berharga dari mereka, sebab mereka ini tetamu Allah. Saya percaya kebaikan yang saya terima sekarang pun ada kaitan dari doa mereka," kongsinya.


Tag: