• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Kerajaan Belanja Lebih RM6 Juta Baiki Paip ‘Usang’, Tertinggi Sejak 2015

KUALA TERENGGANU, 17 November - Kerajaan Terengganu membelanjakan RM6.313 Juta pada tahun 2019 bagi menggantikan paip air lama yang kebanyakannya berusia lebih 40 tahun di banyak lokasi seluruh negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata, berdasarkan semakan yang dibuat peruntukan itu adalah tertinggi sejak 2015.

Katanya, langkah itu sangat penting bagi mengatasi masalah paip-paip lama yang sering pecah sehingga menyebabkan berlaku gangguan bekalan air.

“Saya rakamkan ucapan terima kasih buat kerajaan negeri yang telah berusaha untuk menyokong kerja-kerja penggantian paip lama.

“Rekod yang saya terima untuk kerja-kerja gentian paip lama bermula tahun 2015-2020 adalah seperti berikut, RM486,894 pada 2015, 2016 tiada peruntukan, 2017 sebanyak RM1.181 juta dan 2018 juga tiada peruntukan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika perbahasan Bajet 2022 di Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Belas (Bajet) di Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Hishamuddin turut berharap agar pengumuman peruntukan sebanyak RM40 juta bagi perbelanjaan bekalan air dalam Belanjawan 2022 dapat dilaksanakan kerajaan negeri bagi memastikan masalah air tidak berlaku.

“Seingat saya peruntukan pada tahun ini juga agak tinggi untuk bekalan air dana berterusan sehingga tahun hadapan. 

“Komitmen ini menunjukkan bawah Kerajaan Negeri Terengganu kini meletakkan keutamaan yang tinggi dalam memastikan kesejahteraan rakyat,” tambah beliau.


Tag: