• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Belanja RM30 Guna MyDebit, Dapat Hadiah!


KUALA  TERENGGANU, 13 Januari - Rakyat negeri Terengganu yang membelanjakan minimum RM30 dalam satu resit  berpeluang memenangi hadiah yang lumayan.

Pembayaran melalui kad MyDebit itu, mestilah dibuat di semua Jabatan Tanah dan Galian Negeri, Majlis Bandaraya, Majlis Perbandaran, Majlis Daerah , Pusat Urusan Zakat dan Mahkamah Syariah serta agensi yang lain.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dengan itu, secara tidak langsung ia memberi manfaat dan kesedaran serta menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan tanpa tunai.

“Hari ini, kita sama-sama berkumpul bagi meraikan kejayaan para pemenang dari lima agensi yang telah mencatatkan peratusan tertinggi dalam bilangan dan nilai transaksi MyDebit di sepanjang kempen yang berlangsung dari 1 Mei hingga 31 Oktober 2019.

“Objektif utama kerjasama di antara Kerajaan Terengganu Darul Iman dengan Payments Network Malaysia Sdn Bhd atau PayNet bagi menjurus kepada masyarakat tanpa tunai (cashless society),” ujarnya.


Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penyampaian Hadiah Kempen MyDebit anjuran Bahagian Pembangunan Teknologi Maklumat di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, pada hari ini.

Teks ucapan Menteri Besar itu telah dibacakan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali.

Beliau turut berharap agar kempen itu dapat menggalakkan dan meningkatkan jumlah penggunaan kad MyDebit.

“Semoga jalinan kerjasama dan perkhidmatan yang disediakan ini akan di manfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat secara berterusan.

“Marilah sama-sama kita membantu kerajaan dalam mempertingkatkan lagi penyampaian perkhidmatan berkesan dan cekap kepada rakyat selari dengan era digital pada masa kini,” tegasnya.

Pada majlis tersebut, seramai tiga puluh pemenang bertuah menerima hadiah masing-masing di mana lima pemenang berjaya membawa pulang sebuah motosikal Yamaha Y15ZR.

Sementara itu,  sepuluh pemenang mendapat hadiah berupa baucar barangan elektrik bernilai RM5,000 setiap satu manakala sepuluh pemenang lagi menerima hadiah berupa baucar barangan elektrik bernilai RM3,000 setiap satu dan lima lain pemenang  menerima  baucar yang sama bernilai RM1,000 setiap satu.

Tag: