• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Belanjawan 2019 Libat Janji PAS Terengganu - MB


KUALA TERENGGANU, 14 November - Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memberi jaminan Belanjawan 2019 yang akan dibentang pada 25 November ini akan mengambil kira manifesto PAS negeri yang dijanjikan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Katanya, 70 peratus daripada tawaran yang dikemukakan dalam manifesto itu akan melibatkan belanjawan yang akan dibentang pada persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu, dan ia disifatkan sebagai bajet berimbang.

"Ini adalah tahun pertama pembentangan bajet di bawah pemerintahan baharu di Terengganu, sudah tentulah kita sedaya upaya mahu melaksanakan apa yang kita janjikan dalam manifesto PRU14 lalu.

"Mungkin hanya tiga atau empat sahaja manifesto yang belum kita laksanakan dalam Belanjawan 2019, itu kita akan bawa dalam tahun-tahun akan datang kerana ia melibatkan kajian dan cara pelaksanaan tertentu. Yang penting 70 peratus manifesto itu akan diumumkan dalam bajet pada akhir bulan ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program "Back To School" anjuran anak syarikat milik kerajaan negeri, Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) untuk 80 murid dari empat sekolah dari Parlimen Marang, di pasaraya Mydin Mall, Gong Badak, semalam.

Ditanya sama ada kerajaan negeri akan meneruskan pemberian yang dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu seperti bantuan pakaian sekolah untuk keluarga kurang kemampuan, Ahmad Samsuri berkata, ia akan diteruskan dengan beberapa penambahbaikan.

"Begitu juga dengan insentif dalam bidang pendidikan, ia akan disentuh dalam Belanjawan 2019 nanti," katanya sambil memaklumkan hasil royalti minyak dan gas akan turut dimasukkan ke dalam bajet itu sebagai hasil terimaan negeri.

Terdahulu, Samsuri sempat menemani murid yang menerima bantuan EPIC itu memilih peralatan alat tulis mereka di pasaraya itu.

Setiap mereka menerima bantuan RM565 yang diberi dalam beberapa bentuk sumbangan antaranya baucer pakaian sekolah bernilai RM200, baucer kasut RM100 dan pembelian alat tulis RM80.


Tag: