• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

Belanjawan 2021: BSH Diteruskan Dengan Bantuan Prihatin Rakyat

KUALA LUMPUR, 6 November - Kerajaan akan menggantikan Bantuan Sara Hidup (BSH) dengan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) bermula Januari 2021, dengan kadar bantuan dan kategori pendapatan lebih baik

Menteri Kewangan, Tengku Dato' Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata pemberian BPR dijangka akan memanfaatkan 8.1 juta orang dengan peruntukan RM6.5 bilion berbanding dengan 4.3 juta penerima dan peruntukan RM5 bilion sebelum ini di bawah BSH.

Katanya, BPR akan memastikan dapat memberi manfaat besar kepada golongan berkaitan seperti berikut;

Pertama: Isi rumah berpendapatan bulanan kurang 2,500 ringgit dan mempunyai sehingga seorang anak akan menerima bantuan sebanyak RM1,200, manakala isi rumah yang mempunyai dua anak atau lebih akan menerima bantuan sebanyak RM1,800.

Kedua: Bagi isi rumah berpendapatan bulanan antara RM2,501 hingga RM4,000 dan mempunyai sehingga seorang anak, bantuan BPR sebanyak RM800 akan disalurkan, manakala isi rumah yang mempunyai dua anak atau lebih akan menerima bantuan sebanyak RM1,200.

Ketiga: Kerajaan turut akan membantu kumpulan isi rumah berpendapatan bulanan antara RM4,001 hingga RM5,000 ringgit. Kategori ini akan menerima RM500 bagi yang mempunyai sehingga seorang anak dan bantuan RM750 kepada isi rumah yang mempunyai dua anak atau lebih.

Keempat: Individu bujang berpendapatan RM2,500 ke bawah pula, akan menerima bantuan RM350.

"Tidak sekadar itu, had umur kelayakan individu bujang diturunkan kepada 21 tahun, berbanding syarat sebelum ini, iaitu 40 tahun.

"Secara keseluruhan, pemberian BPR ini dijangka memanfaatkan 8.1 juta orang dengan peruntukan RM6.5 bilion berbanding 4.3 juta penerima dan peruntukan RM5 bilion sebelum ini di bawah BSH," ujarnya ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini..


Tag: