• 09 Mei 2024 | 1 Zulkaedah 1445

Belanjawan 2021 : Pusat Terapi Autisme Dibina

KUALA TERENGGANU, 23 November - Terengganu bakal memiliki Pusat Rawatan dan Terapi Austisme sendiri selepas kerajaan negeri bersetuju meluluskan pembinaannya.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pusat ‘Baitul Ummi’ dan ‘Raudhatul Jannah’ juga akan dibina dengan peruntukan RM1.4 juta.

"Kerajaan negeri akan menubuhkan sebuah pusat jagaan harian warga emas Baitul Ummi, khusus untuk golongan wanita di Kuala Terengganu dan menubuhkan Terengganu Autism Care and Therapy Centre (TACTC).

"Kerajaan Negeri juga akan memulakan operasi Raudhatul Jannah, bagi melindungi golongan wanita dan kanak-kanak daripada pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi rumah tangga," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2021 Terengganu pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Terengganu Yang ke-14 di Wisma Darul Iman hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, bagi memastikan institusi keluarga di Terengganu terjamin pula, kerajaan negeri memberi perhatian penuh kepada Program Pemutihan 4P (Perintah Pengesahan dan Pendaftaran Perkahwinan).

"Sebanyak RM145 ribu diperuntukkan untuk program pemutihan status perkahwinan rakyat Terengganu.

"Selain itu, kerajaan negeri juga akan memperuntukkan sebanyak RM200 ribu untuk pembukaan tiga buah taska baharu di premis jabatan seluruh negeri Terengganu," jelasnya.


Tag: