• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Belanjawan 2021 : RM42.8 Juta Untuk Tabung Pendidikan

KUALA TERENGGANU, 23 November – Kerajaan negeri memperuntukkan RM42.8 juta untuk Tabung Pendidikan Terengganu Sejahtera dalam usaha memastikan Terengganu terus unggul dalam bidang akademik.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dana tersebut meliputi biasiswa kepada pelajar cemerlang di beberapa peringkat pengajian.

"Kerajaan negeri akan meneruskan pemberian biasiswa dan pinjaman di bawah Yayasan Terengganu melalui Tabung Pendidikan Terengganu Sejahtera dengan peruntukan sebanyak RM42.8 juta.

"Merangkumi Biasiswa Pelajar Cemerlang Ijazah Pertama, Sarjana dan PhD; Kursus Association of Chartered Certified Accountants (ACCA), Sijil Pentauliahan Penjaga Jentera Elektrik (Chargeman), Pinjaman Tabung Siswa Terengganu dan Pinjaman Latihan Kemahiran," katanya Ketika membentangkan Belanjawan 2021 Terengganu pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Terengganu Yang ke-14 di Wisma Darul Iman hari ini.

Tambah beliau, kerajaan negeri juga akan memperuntukkan sebanyak RM2 juta untuk Program Kecemerlangan Pendidikan
bagi membantu pelajar-pelajar yang menghadapi peperiksaan UPSR, PT3, SPM dan STPM.

"Tambahan pula, sebanyak RM6 juta diperuntukkan bagi bantuan per kapita sekolah pondok, sekolah agama rakyat dan pusat pendidikan agama yang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

"Bagi memberi motivasi kepada para pelajar sekolah untuk mempunyai semangat dan cita-cita untuk menyambung pelajaran ke peringkat menara gading, kerajaan negeri akan melaksanakan program dan latihan seperti Lambaian Menara Gading, Teknik Pembelajaran, Seminar Kepimpinan, Latihan Kerohanian dan Kecergasan serta motivasi dengan peruntukan sebanyak RM600 ribu," jelasnya.

Ahmad Samsuri turut memaklumkan, bagi memperkasakan institusi pendidikan dengan pelaksanaan pembelajaran berkualiti, pengupayaan warga pendidik dan pentadbir berprestasi tinggi, penyediaan infrastruktur yang lengkap, pembentukan
persekitaran islamik, serta penglibatan awam dan swasta, kerajaan negeri akan melancarkan Pelan Kecemerlangan Pendidikan Terengganu 2021-2025.


Tag: