• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Belia Sambut Baik Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan

KUALA TERENGGANU, 8 April - Pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) menerima pelbagai respon daripada masyarakat termasuk golongan belia.

Rata-rata golongan itu menyambut baik dan bersedia menerima suntikan vaksin melalui PICK yang dilaksanakan kerajaan.

Pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nornadia Zainudin, 22, menyifatkan tahap kesedaran golongan pelajar sepertinya untuk mendaftar sebagai penerima vaksin berada pada tahap yang bagus.

“Generasi muda lebih berfikiran terbuka berbanding golongan berusia, justeru kami merasakan perlu menerima suntikan vaksin tersebut kerana itu adalah langkah terbaik untuk melindungi diri daripada wabak COVID-19,” ujarnya ketika ditemui pemberita, baru-baru ini.

Bagi Mohd Idham Nasrin, 23, dari Marang pula berkata, langkah kerajaan negeri membuka kaunter pendaftaran di tempat tumpuan awam dapat menggalakkan lagi orang ramai mendaftarkan diri dalam PICK.

“Saya sangat bersetuju dengan inisiatif ini kerana selain dapat menyemarakkan kempen daftar vaksin ia sekali gus membantu kerajaan meningkatkan kadar pendaftaran vaksin COVID-19 di negeri ini yang masih rendah,” jelasnya.

Manakala, Mohd Syahmi Ghazali, 41, dari Kuala Ibai pula berpendapat, tiada alasan untuk seseorang itu tidak mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

“Bagi menyedarkan masyarakat, apa yang dilakukan kerajaan negeri termasuk bergerak dari rumah ke rumah dan membuka kaunter pendaftaran PICK di tempat tumpuan awam merupakan langkah murni supaya rakyat Terengganu lebih ke hadapan untuk menerima suntikan vaksinasi ini.

“Malah sukarelawan bertugas juga sangat membantu mendaftar dan memberi kefahaman kepada pengunjung dan orang ramai mengenai kepentingan mengambil suntikan vaksin ini terutamanya kepada golongan tua,” katanya.