• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Belia Terengganu Puas Hati Dengan Kerajaan Negeri - Kajian

KUALA TERENGGANU, 16 Jun - Kajian yang dijalankan empat penyelidik daripada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mendapati majoriti belia di Terengganu berpuas hati dengan dasar dan polisi diterapkan kerajaan negeri.

Pensyarah, Prof. Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah berkata, anak muda meletakkan harapan sangat tinggi kepada kepimpinan sedia ada bagi terus memacu kemajuan Terengganu dalam apa jua bidang.

“Berdasarkan kajian, elemen pemimpin membawa konsep Islam dalam kepimpinan menerima skor tertinggi, selain itu pemimpin sentiasa cakna tentang kebajikan serta pemimpin mesra dan tidak sombong turut mendapat skor tinggi.

“Di samping itu belia Terengganu juga mengiktiraf bahawa pemimpin sedia ada sebagai tidak hipokrit, berpandangan jauh dan mempunyai idea-idea baharu,” kata beliau semasa membentangkan kajian tersebut di Duyong Marina & Resort kelmarin.

Menurut beliau, antara inisiatif mendapat pujian golongan belia adalah tabung pinjaman perumahan tanpa riba rakyat Terengganu dan skim bantuan modal tani.

Katanya, anak muda juga berpuas hati dengan peluang pekerjaan yang ditawarkan kepada mereka.

“Namun, masih ada lagi beberapa tuntutan daripada mereka kepada kerajaan negeri antaranya pengurangan cukai, insentif dalam perniagaan, latihan kemahiran serta bantuan tunai.

“Perkara-perkara ini wajar diberi perhatian oleh kerajaan Terengganu,” tambah beliau.


Tag: