• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Belia Wajib Jauhi Najis Dadah


Oleh: Saifullah Jusoh

BESUT - Belia wajib menjauhi najis dadah yang boleh merosakkan kehidupan, kata Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Haji Azbi Salleh.

Selaku pemimpin di Kuala Besut, beliau menyeru kepada semua belia agar tidak mencuba walau sekali kerana akibat terjerumus boleh menyebabkan kesan ketagihan yang kuat dan sukar untuk keluar dari gejala yang merosakkan hidup itu.
















"Kita lihat statistik jenayah dadah di Besut sangat membimbangkan kerana apabila seseorang terlibat dengan dadah, maka sudah pastinya mereka akan melakukan jenayah-jenayah lain seperti mencuri untuk mendapatkan wang membeli dadah,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bersama Belia dan Agensi Kerajaan di Kampung Seri Kemunting, Kuala Besut, di sini, 20 Oktober

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Besut, Asisten Superitendan Badrul Hisham Jaafar dan Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Kuala Besut, Ustaz Zulkifli Kadir.

Sementara itu, Ketua Penyiasatan Jenayah Agensi Anti Dadah Kebangsaan Daerah Besut (AADK)  Besut, Encik Yusmadi Jusoh berkata, jenis dadah yang paling banyak digunakan oleh penagih di daerah itu seperti jenis methaphetamine atau dikenali sebagai pil kuda.


"Hal ini sangat membimbangkan kerana ia akan merosakkan kehidupan anak muda dan juga masyarakat sekeliling.

"Semua pihak perlu memainkan peranan bagi membanteras masalah sosial ini supaya kita dapat mengurangkan kadar jenayah di Besut. Ibu bapa perlu mengawal gerak-geri anak-anak agar mereka tidak terjerumus dalam penyalahgunaan najis dadah,"katanya.

Di majlis itu, Azbi juga tidak melepaskan peluang menyertai pertunjukan seni mempertahankan diri.

Acara  yang diadakan pada program tersebut ialah pertunjukan seni mempertahankan diri seperti pencak silat, taekwondo dan tomoi.


Tag: