• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Beliawanis Jabi Cungkil Seni Tangan Wanita Muda

SETIU, 14 Februari – Keterujaan wanita muda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi terserlah setelah kesenian dan bakat yang terpendam berjaya dicungkilkan dengan penghasilan gubahan orkid.

Beliawanis Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Jabi, Nur Syafiqa Aman berkata generasi muda merupakan tonggak dan harapan kepada negara. Malah mereka merupakan aset yang penting dalam membangunkan negeri dan juga negara.

‘’Mereka perlu didekati dan dibelai dengan limpahan ilmu supaya menjadi orang yang berguna dan memberi manfaat.

‘’Selain itu, ia dapat mengeratkan ukhuwah di antara satu sama lain , melahirkan masyarakat yang suka berniaga dan menghasilkan produk sendiri. Malah  mereka dapat menambah ilmu tentang gubahan bunga dan hasil seni tangan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) dalam Program Bengkel Gubahan Orkid di Balairaya Kampung Kepala Gajah, Jabi, semalam.

Seramai 40 orang wanita muda Unit Daerah Mengundi (UDM) menyertai bengkel tersebut gabungan dari Kampung Kepala Gajah dan Kampung Renek. Ia dianjurkan bersama Pusat Khidmat ADUN Jabi dengan kerjasama Ameerah Jabi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata fitrah manusia menyukai keindahan dan kecantikan. Gabungan daripada pelbagai kejadian jelas menggambarkan nilai kebesaran Allah SWT.

‘’ Antara nikmat sebagai manusia apabila melihat keindahan alam dapat mengenangkan siapakah diri kita dan mengingatkan kepada sang pencipta.

‘’ Berinteraksilah dengan alam untuk sama-sama mendapat manfaat. Termasuk jugalah keindahan alam seperti bunga-bungaan tumbuh-tumbuhan. Ini kerana telah digambarkan dalam al-quran bahawa syurga ini banyak pokok-pokok sebab ia suatu yang indah.

‘’ Malah digambarkan juga sungai-sungai yang mengalir. Jadi gabungan sungai, pokok, bunga ini benda yang menyenangkan manusia sehingga digambarkan di syurga. Tiada pula Allah sebut bangunan pencakar langit.

‘’ Mata lebah kemana pergi dia akan cari bunga. Kalau mata lalat ia akan mencari sampah , bangkai dan benda busuk. Jesteru, belajarlah daripada mata lebah yang sentiasa mencari benda yang indah dan akhirnya menghasilkan madu-madu yang berkhasiat untuk dimakan oleh manusia.’’ katanya

Tambahnya, setiap perkara di atas muka bumi ini suatu perkara untuk kita berfikir.

‘’ Orang mukmin apabila dia lihat ciptaan alam dia akan berkata Ya Tuhan, tidak kamu jadikan ini dengan sia-sia dan selamatkanlah kami daripada azab api neraka. Ini cara orang islam berfikir,

‘’Tahniah Beliawanis dan Ameerah Jabi di atas kejayaan Program Bengkel Gubahan Orkid pada hari ini dan harap diteruskan ke UDM lain yang menjadi suatu program untuk mendekati masyarakat , bertemu mata, beramah mesra,’’ jelasnya lagi.