• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Benteng Sungai Runtuh Timbulkan Kerisauan Penduduk

Oleh: Naim Fadhilah

DUNGUN, 27 Januari - Penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Buaya, Kuala Dungun bimbang apabila benteng di tebing sungai itu mendap dan runtuh, sekaligus membahayakan keselamatan penduduk.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung Sungai Buaya, Mukhtar Che Man berkata, beliau telah menerima aduan daripada penduduk yang menyedari kejadian tanah runtuh terbabit.

"Setelah menerima aduan, saya terus ke tempat kejadian untuk melihat sendiri kejadian tanah runtuh itu," ujarnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi  Wan Nik berkata, beliau telah mengambil maklum kejadian itu dan akan terus berhubung dengan Jabatan Pengairan dan Saliran bagi tindakan lanjut.

"Saya telah memaklumkan kepada pihak berkenaan untuk ambil tindakan dengan kadar yang segera kerana kita bimbang kemungkinan runtuhan menjadi lebih buruk apabila air pasang besar," katanya ketika ditemui pemberita sewaktu meninjau lokasi kejadian.

Beliau turut meminta JPKK untuk sentiasa membuat pemantauan di kawasan tersebut dan memastikan keselamatan penduduk terjamin. 

"Pihak JPKK akan membuat pemantauan secara berkala dan memaklumkan kepada penduduk supaya lebih berhati-hati apabila melalui jalan berdekatan kawasan itu terutamanya apabila air sungai pasang," ujarnya.