• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Berakhirnya Derita 11 Tahun

KUALA TERENGGANU, 31 Oktober - Setelah hampir 11 tahun terpaksa menghidu bau busuk limpahan air longkang, derita penduduk Lorong Kemunting kini berakhir.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar berkata, pihaknya membina longkang baharu selepas longkang sedia ada gagal berfungsi dengan baik.

"Kita dapati terdapat dua lapis longkang, longkang lama ditindih dengan longkang yang dibina kemudiannya tetapi tidak dapat menyelesaikan masalah sehingga berlarutan selama hampir 11 tahun dan binaannya juga tidak sekata.

"Dengan lemak-lemak melekat menjadikan air tidak dapat mengalir dengan baik menyebabkan ia melimpah masuk ke kawasan Sekolah Menengah Tengku Bariah dan baunya yang busuk menganggu keselesaan pelajar untuk belajar," jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau kerja-kerja pembinaan longkang terbabit di sekitar Sekolah Menengah Tengku Bariah di sini semalam.

Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Lorong Kemunting, Ahmad Shukri Adha Ali bersyukur dengan terbinanya longkang baharu tersebut  kerana masalah yang menghantui pihaknya berjaya diselesaikan. 

"Air longkang memang melimpah ke sekolah sehingga pernah satu ketika sampai ke paras peha dan telah menyebabkan kereta rosak," katanya.

 


Tag: