• 01 Mei 2024 | 22 Syawal 1445

Berbeza Fahaman Politik Tidak Jejas Kerjasama - MB



KUALA TERENGGANU, 15 Ogos- Perbezaan fahaman politik tidak menjadi penghalang untuk wujudkan kerjasama antara kerajaan negeri dan persekutuan sebaliknya ia membuka ruang baharu dimana dasar pentadbiran ‘check and balance’ dapat dilaksanakan.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata majlis-majlis yang dianjurkan bersama adalah contoh dan bukti bahawa politik masa kini adalah politik matang dan terbuka.

“Bahkan komitmen dan keprihatinan kerajaan persekutuan terhadap negeri ini dapat dilihat pagi tadi dalam sesi libat urus antara Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dengan kerajaan negeri Terengganu di dalam penyediaan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK KE12) yang membolehkan kerajaan negeri menyuarakan pandangan-pandangan dan cadangan yang boleh dipertimbangkan oleh pihak kementerian di dalam penyediaan RMK KE12 tersebut,” ujarnya.

Dato' Seri Ahmad Samsuri mengiringi Dato' Seri Mohamed Azmin Ali untuk beramah mesra dengan sebahagian daripada penjawat awam yang hadir di majlis yang berlangsung hari ini di Dewan Besar Wisma Darul Iman

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Silaturrahim Bersama Penjawat Awam Dan Persekutuan Negeri Terengganu bersama Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato' Seri Mohamed Azmin Ali di Dewan Besar Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Senator Dr. Mohd Radzi Md Jidin; Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Senator Dato' Raja Kamarul Bahrin Shah Ibni Raja Ahmad Baharuddin Shah; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Yahaya Ali; Dato' Bentara Dalam Setiausaha Kerajaan Terengganu; Pegawai Kewangan Negeri Terengganu, Dato’ Mohd Zahari bin Md Azahar.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Noor Zari Hamat; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta Pegawai-pegawai Kerajaan Negeri Terengganu dan Jabatan Persekutuan di Terengganu.

Terdahulu, Azmin menghadiri Mesyuarat Sesi Libat Urus Penyediaan (RMKE12) Kerajaan Negeri Terengganu  di Bilik Gerakan Negeri dalam rangka lawatan sehari  ke Terengganu yang merupakan negeri kesembilan yang dilawati dalam siri jelajah  MEA.


Tambah Ahmad Samsuri lagi, dengan perkembangan yang sedang berlaku ini, beliau mengharapkan kerjasama antara agensi kerajaan negeri dan agensi kerajaan persekutuan terus diperkukuhkan dengan lebih baik.

“Sebagai penjawat awam sama ada daripada kerajaan persekutuan mahupun kerajaan negeri, ‘expectation’ pelanggan atau rakyat terhadap perkhidmatan awam semakin hari semakin tinggi dan ini sudah tentunya memerlukan kita membuat pembaharuan yang berterusan supaya kita sentiasa responsif dan relevan,” katanya.

Jelas beliau, tanggungjawab ini amatlah besar kerana warga penjawat awam merupakan penggerak kepada sesebuah kerajaan negeri dan juga persekutuan. Walaupun bagi sesetengah pihak melihat kerjaya ini mudah, tetapi pada hakikatnya ia tidak semudah yang disangka.

“Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Saya yakin walau apapun cabaran yang ada dihadapan, kita akan mampu mengatasinya secara bersama demi melihat masa depan negeri dan negara yang kita sayangi ini terus maju, berkat dan memberikan kesejahteraan kepada rakyat,” ujar Ahmad Samsuri.

Menurutnya lagi, Terengganu meletakkan visi untuk menjadi sebuah negeri Maju, Berkat dan Sejahtera menjelang tahun 2030 sebagaimana Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 (PITAS 2030).



Tag: