• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Berhati-Hati Penipuan Permohonan Tanah


Mohd Nor Hamzah.
KUALA TERENGGANU, 10 September – Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu, Mohd Nor Hamzah menafikan sekeras-kerasnya keterlibatan beliau dalam proses meluluskan tanah.

Jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, aduan dan dakwaan yang timbul baru-baru ini terutamanya melibatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang beliau wakili adalah sangat tidak berasas.

“Isu aduan itu ialah berkenaan mereka yang telah membayar kepada seseorang yang bukan pegawai pejabat tanah, tetapi mengaku boleh berurusan dengan pejabat tanah, (bayaran) dengan sejumlah wang yang besar, dan lebih malang, tanpa apa-apa bukti pembayaran pun diberikan.

“Mereka mempercayai orang itu kerana dia mendakwa baik dan kenal rapat dengan saya. Kemudian apabila orang itu menghilang, mereka mencari saya. Sedangkan ketika mereka berdua berurusan, saya tidak mengetahui langsung,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tegasnya lagi, beliau tiada mempunyai orang tengah atau ‘runner’ untuk sebarang proses kelulusan tanah.

“Jika ada yang mengaku, bermakna dia pembohong. Juga jangan dipercayai sebarang pengakuan itu dengan hanya sekeping gambar. Sekiranya anda layak, insya-Allah permohonan tanah anda akan diluluskan,” tambah Mohd Nor.

Mengulas lanjut, tuduhan yang dikaitkan dengan namanya sangat dikesali dan beliau mengharapkan agar orang ramai berhati-hati sebelum membuat sebarang urusan dalam apa jua perkara.

“Adalah tidak adil kepada saya, apabila dengan mudah mangsa menuduh saya tidak prihatin semata-mata mereka ditipu oleh seseorang yang saya tidak kenal dan tidak tahu hujung pangkal pun apa yang berlaku.

“Suka untuk saya nasihatkan jika mahu berurusan berkenaan tanah, pergi ke pejabat (tanah) dan terus berurusan dengan pegawai di sana.

“Jangan membayar apa-apa kepada orang luar dan jika bayaran dikenakan oleh Pejabat Tanah, ambil resit sebagai bukti pembayaran,” katanya.



Tag: