• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Beri 'Kail' Sudah Cukup Untuk Saya Buat Lebih Baik

MARANG, 27 Oktober - "Dapat mengikuti kursus dan ilmu pertukangan kayu pun sudah cukup, untuk saya pelajari supaya saya boleh buat kerja dengan lebih baik, berkemahiran dan lebih bagus lagi." 

"Saya tidak mahu ikan semata-mata, lebih baik bagi mata kail, nanti saya boleh cari ikan sendiri, kerana saya juga tidak mahu hanya terus mengharapkan bantuan semata-mata, walaupun bantuan itu adalah bonus," ucap Kamaruzaman Mohamad, 50, yang berasal daripada Kampung Batangan.

Menurutnya lagi, sebelum ini dia berkerja sebagai seorang nelayan tetapi beralih untuk mengetengahkan bakatnya dalam bidang perkayuan ditambah lagi dirinya memang meminati bidang pertukangan itu.

"Walaupun saya baru dalam bidang ini, produk dan perabot kayu yang saya buat semakin mendapat tempat di kalangan pembeli, kebiasaannya saya mendapat tempahan melalui 'Facebook' dan rakan-rakan terdekat," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika dikunjungi oleh Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang untuk melihat bengkel kecil dan hasil kerja di rumahnya baru-baru ini.

Sementara itu, Pegawai Khas PKM ADUN Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, pihaknya dapat melihat sendiri bakat Kamaruzaman dan akan menyokong usahanya untuk terus memajukan kerjayanya.

"Insya-Allah, kita akan cuba bantu permintaannya melalui agensi berkaitan sama ada Yayasan Pembangunan Usahawan ataupun Kraftangan sekiranya terdapat ruang kursus kemahiran ataupun sumbangan lain yang boleh membantunya meningkatkan produktiviti produk pertukangannya.

"Mudah-mudahan kemahiran tersebut dapat dijadikan sebagai kail yang memberikan manfaat kepadanya sekeluarga, bukan hanya menunggu ikan atau kata lain, hanya bantuan semata-mata," tambahnya.

Katanya, usahawan kecil yang bersemangat besar seperti itu wajar dibantu supaya mereka dapat meneruskan kelangsungan hidup di samping memajukan produknya ke peringkat lebih tinggi.

"Kita juga berharap semoga Pak Kamal terus maju dalam bidang ini, tidak mudah berputus asa dan terus berdaya saing dalam mengeluarkan perabot-perabot berasaskan kayu pine ini setanding dengan pengusaha lain," tambahnya lagi.

 


Tag: