• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Beri Komitmen 100 Peratus Banteras Rasuah

KUALA TERENGGANU, 28 Januari - Kerajaan negeri akan sentiasa memberi komitmen 100 peratus terhadap sebarang usaha daripada mana-mana pihak bagi memerangi rasuah sekali gus bagi memastikan Terengganu bebas rasuah.

Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata menerusi usaha berkenaan menzahirkan pendirian Kerajaan Terengganu yang sekali tidak akan berkompromi dengan gejala berkenaan.

"Rasuah dihina, maruah dibina. Sebagai Menteri Besar, saya akan memberi komitmen dan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membanteras jenayah rasuah dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu," ujarnya.

Beliau berkata demikian menerusi Facebook rasminya, selepas menerima kunjungan SPRM di Kediaman Seri Iman, di sini, semalam.

Beliau merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Pengarah SPRM, Tuan KPKJ Hazrul Shazreen Abd Yazid bersama rombongan di atas kunjungan tersebut bagi memperkukuhkan kerjasama dalam usaha memastikan amalan rasuah dapat dicegah dengan efektif.

Sebelum ini Dr Ahmad Samsuri menjadi Menteri Besar pertama yang menerima kunjungan Rasuah Busters pada tahun lalu.

Menurut pemimpin nombor satu itu Rasuah Busters membawa misi penting bagi membanteras rasuah sehingga ke akar umbi.

Menerusi kunjungan berkenaan, Rasuah Busters dan Kerajaan negeri telah memeterai kerjasama dimana kesepakatan itu dicapai menerusi pertemuan julung-julung Kali yang diadakan pada Ogos 2022.