• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Beri Peluang PAS Bersama PN Bina Negara Berkebajikan

KUALA TERENGGANU, 6 November - PAS mengajak rakyat negara ini supaya memberi peluang kepada parti itu bersama gabungan politik Perikatan Nasional (PN) untuk membina sebuah negara berkebajikan dengan agenda Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS).

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata ini termasuklah penyediaan manifesto bagi menyokong langkah-langkah pemulihan ekonomi negara dan rakyat pasca pandemik COVID-19.

"Terpenting ialah pembinaan sumber manusia melalui sistem pendidikan yang merangkumi unsur jasadi, rohani dan aqli, kemakmuran ekonomi yang menghasilkan peluang pekerjaan dan menjana pendapatan yang mencukupi.

"Ini termasuk memperkasakan kehebatan undang-undang, memanfaatkan kemajuan teknologi terkini, penjagaan alam dan kelestarian sumbernya, di samping komitmen untuk meningkatkan kecekapan dan perkhidmatan kerajaan demi kebajikan rakyat dan iklim pelaburan yang lebih baik," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan  ucapan dasar dan merasmikan Muktamar Tahunan PAS di Duyung Marina Resort, di sini hari ini.

Menurut Abdul Hadi, negara berkebajikan yang ditawarkan kepada rakyat berbeza dengan teori 'welfare state' daripada barat yang sempit dan hanya sekadar menjaga kebajikan masyarakat sahaja.