• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Beri Peluang Yang Adil Kepada Kaum Hawa

KUALA TERENGGANU, 30 November - ADUN Wanita Terengganu menggesa kepada pihak berkenaan agar memberi peluang kepada kaum wanita kerana mereka berhak mendapat peluang yang adil dari segi perjawatan dan kemudahan dalam pekerjaan di negeri ini.

YB Zuraida Md Noor berkata, pemerkasaan wanita dalam sektor pekerjaan awam dan swasta nyata perlu diperhebatkan lagi.

"Saya melihat pelancaran Dasar Wanita Terengganu tepat pada waktunya dengan penekanan dalam segmen wanita dan pekerjaan yang cukup menjaga kebajikan wanita," jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu, Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri Terengganu Keempat Belas (Bajet), di Wisma Darul Iman, pada semalam.

Menurutnya, pihak berkuasa dan majikan bertanggungjawab memberi galakan, kemudahan dan memastikan persekitaran di tempat kerja adalah mesra wanita serta membolehkan mereka bekerja dalam waktu yang fleksibel.

"Pihak berkuasa, badan bukan kerajaan dan komuniti setempat bertanggungjawab untuk mewujudkan serta menggerakkan kumpulan sokongan bagi membantu dan memudah cara wanita yang berhadapan dengan isu pekerjaan," ujar beliau.

Justeru itu, beliau berharap isu pekerjaan ini mendapat perhatian sewajarnya demi memastikan sumbangan wanita dalam pekerjaan ini dioptimumkan.


Tag: