• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Berita Gembira Untuk Rakyat Dalam Manifesto Akan Datang

KUALA TERENGGANU, 19 Mac – Kerajaan Negeri menjanjikan berita gembira untuk rakyat dalam manifesto pada pilihanraya akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam membantu rakyat tidak mengira peringkat umur dan latar belakang.

Katanya, melalui hasil perbentangan bajet untuk tahun ini, pelbagai bantuan telah diperkenalkan oleh kerajaan negeri semata-mata untuk memberi manfaat kepada rakyat.

“Antaranya adalah baucar pakej ibu berpantang sebanyak RM200 seorang yang memakan peruntukan sebanyak RM1 Juta bagi tujuan tersebut.

“Di samping, membela kebajikan ibu tunggal dan Orang Kurang Upaya (OKU) yang layak dengan nilaian RM200 seorang dengan peruntukan RM5 juta serta pelbagai bantuan lagi,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Ceramah Mega Darul Iman bertempat Dataran Ko Khidmat di hadapan Pasaraya Mydin Kuala Ibai di sini semalam.

Tambah Mohd Nor, terdapat banyak pencapaian dan pengiktirafan oleh pihak luar kepada kerajaan Terengganu sepanjang mentadbir negeri ini.

“Baru-baru ini Kerajaan negeri juga telah mendapat pengiktirafan dalam mengurus bajet dan kewangan negeri.

“Justeru, terbukti bahawa kerajaan sekarang cemerlang dalam mengurus tadbir dan menjadikan ekonomi di negeri ini semakin membaik berbanding dahulu,” katanya.


Tag: