• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

BERKAT 2.0 : Kerajaan Agih Tablet Kepada Pelajar

KEMAMAN, 19 April - Di bawah Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT 2.0), Kerajaan Negeri Terengganu melalui anak syarikatnya sedang giat mengagihkan tablet kepada pelajar kurang berkemampuan di seluruh negeri.

Semalam, majlis penyerahan tablet berlangsung di Dewan Sivik Kijal dengan sebanyak 44 buah tablet telah diagihkan kepada pelajar yang layak dari sekolah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal.

Tablet berjenama sumbangan daripada anak syarikat Kerajaan Negeri Terengganu (GLC).

Pegawai Penyelaras DUN Kijal, Ustaz Hazri Jusoh yang hadir mewakili kerajaan negeri di kawasannya berterima kasih di atas pemberian itu dan mengharapkan agar ia dapat dimanfaatkan dengan sebaik mungkin oleh pelajar.

"Saya secara peribadinya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua anak syarikat kerajaan negeri yang terlibat terutama Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (Terengganu Inc.) yang menjadi induk kepada program ini.

Ustaz Hazri Jusoh sedang berucap.

"Kita juga mengharapkan agar perkara yang mulia ini akan mengundang rahmat dan keberkatan daripada Allah S.W.T kepada kerajaan negeri dan keuntungan yang melimpahvruah kepada syarikat yang menyumbang," katanya.

Kebanyakan pelajar yang hadir bersama ibu atau bapa mereka bersyukur dan gembira di atas inisiatif kerajaan tersebut.

Seorang pelajar yang ditemui, Alliya Deraman, 16, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bandi berterima kasih kepada kerajaan dengan sumbangan berkenaan.

"Terima kasih saya ucapkan kepada kerajaan yang memberikan tablet ini dengan secara percuma.

"Insya-Allah ia akan banyak membantu dalam pembelajaran saya nanti, terima kasih," ucapnya.

Gimik penyerahan tablet oleh Ustaz Hazri Jusoh (tiga dari kiri)

Turut hadir di majlis tersebut adalah Ketua Komunikasi Strategik Kumpulan Terengganu Inc. Sdn. Bhd., Suridah Supian, Ketua Penyelidik Komuniti Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS), Mohamad Al Ghazali Abu Bakar dan Pengurus BeOne Prepaid Terengganu, Mohd Zahari Ahmad berserta para pegawai Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Kijal.


Tag: