• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

BERKAT Insiatif Kerajaan Bantu Golongan Terjejas

DUNGUN, 19 Februari- Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT)  merupakan inisiatif diperkenalkan kerajaan negeri bagi membantu rakyat yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, bantuan tersebut telah memberi manfaat kepada 1,500 penduduk di sini yang dikenal pasti merupakan golongan terjejas.

"Dengan peruntukkan sebanyak RM150,000 kita telah memilih 1,500 penduduk melalui 23 cawangan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) melibatkan tukang gunting, pengusaha 'car wash', pekerja kantin sekolah serta peniaga pasar malam.

"Juga pusat asuhan kanak-kanak samada swasta atau kerajaan, tukang bekam, dan beberapa golongan lagi yang bekerja di sektor yang tidak dibenarkan beroperasi sewaktu PKP termasuk ketua rumah yang menjalani kuarantin serta pekerja yang direhatkan tanpa gaji, "ujarnya kepada pemberita, semalam.

Beliau berkata, sumbangan berupa wang tunai itu telah disampaikan kepada setiap pengerusi JPKK untuk diserahkan kepada mereka yang layak.

Ghazali berkata, insiatif tanda keprihatinan kerajaan yang sedar mengenai keadaan rakyatnya sewaktu PKP dikuatkuasakan. 

"Semoga melalui bantuan berkenaan dapat meringankan beban yang dialami rakyat," ujar beliau.

Dalam pada itu, Ghazali berkata apa jua dilakukan kerajaan dalam membendung wabak COVID-19 sewajarnya disokong. 

"Termasuk pemberian vaksin secara bersasar, apa yang kita harapkan agar semangat dan kehidupan rakyat akan kembali pulih seperti sediakala.

"Semoga usaha dilakukan kerajaan akan menemui kejayaan. Teruskan berdoa, insya Allah kita pasti menang," ujar Ghazali.