Isu Banjir Di Perkampungan Darul Barakah Dapat Perhatian Kerajaan Negeri
KUALA TERENGGANU, 6 November - Dengan minat yang mendalam melalui bakat yang diasah sejak kecil dan menerima tunjuk ajar daripada suami, Mohd Hisyamuddin Ramli yang merupakan penulis khat, Nurul Hidayah Jusof muncul johan kategori batik.
Katanya, itu merupakan percubaan pertamanya dalam kategori tersebut dan tidak menyangka akan muncul sebagai juara walaupun sebelum ini banyak kali menyertainya dalam kategori lain.
"Saya tidak menyangka percubaan pertama dalam kategori batik ini membawa kemenangan besar, sebelum ini saya hanya pernah mencuba menulis khat di atas kanvas dan sekadar mendapat hadiah saguhati dalam pertandingan yang disertai sebelum ini.
"Kali ini saya cuba sesuatu yang baru dan Alhamdulillah ada rezeki," ujar anak kelahiran Kuala Terengganu itu ketika ditemui di Festival Kaligrafi Islam Terengganu Peringkat Kebangsaan 2024, di Taman Tamadun Islam (TTI), di sini, semalam.
Tambahnya, minat yang berputik di sekolah terhadap seni khat itu tidak pernah terhenti sehingga bekerja di Yayasan Restu malah bertemu jodoh pula dengan suami yang cukup berkemahiran dalam seni khat secara tidak langsung telah membimbingnya selama ini.
"Suami saya yang telah banyak mengajar saya dan menjadi pendorong utama dan menjadi sumber inspirasi untuk terus berusaha dalam bidang yang diminati ini," katanya.
Dalam pada itu, suaminya pula mengharapkan agar kerajaan negeri akan terus menganjurkan program seumpama itu kerana ia merupakan salah satu usaha penting dalam memastikan seni itu terus berkembang.
"Jika lebih banyak acara seperti ini dianjurkan anak-anak muda akan lebih mudah mengenali dan menghargai seni khat walaupun dalam era media sosial di zaman adanya TikTok kerana seni ini memerlukan pendedahan yang lebih luas dan melalui festival ini ia menjadi peluang yang terbaik bagi mempamerkan bakat," jelasnya.
Manakala Johan Kategori Terbuka Spontan, Muin Afnawi Zamri Solihin melahirkan rasa syukur kerana berpeluang menyertai pertandingan di festival yang diadakan oleh kerajaan Terengganu.
"Bila kerajaan negeri mengambil inisiatif untuk memartabatkan seni ini, ia memberi semangat kepada kami untuk terus berkarya," katanya.
Menurut peserta dari Kedah itu bagi menghasilkan tulisan khat yang cantik ia memerlukan kesabaran dan kegigihan yang tinggi.
"Setiap huruf perlu ditulis dengan teliti dan penuh kesabaran. Saya rasa cabaran paling besar dalam bidang ini ialah kesabaran untuk menguasai setiap gerakan.
"Ramai yang mula belajar tetapi putus asa di tengah jalan kerana memerlukan latihan yang berterusan,"katanya.