• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Berlesen, 'Aktif' Baru Layak Terima Elaun

KUALA NERUS, 30 Januari - Pemilik lesen khas nelayan sampan perlu aktif menangkap ikan bagi membolehkan golongan terbabit menerima Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN), ujar Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim.

Beliau berkata, ramai yang menganggap bahawa dengan memiliki lesen tersebut ESHN akan terus diberikan  secara automatik.

"Ramai yang marah, kata lesen dah dapat tetapi masih tidak menerima elaun, apabila ditanya sama ada turun atau tidak ke laut katanya jarang-jarang menangkap ikan, hasil laut pula tidak diisytiharkan kepada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

"Bila tidak isytihar hasil tangkapan maka tidak cukup syarat, kena betul-betul faham ESHN akan diberikan kepada nelayan tulen yang aktif turun ke laut paling kurang 120 hari setahun, kalau hanya turun pada hujung minggu itu dikenali sebagai nelayan rekreasi, tidak cukup syarat," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap ketika menyempurnakan perasmian Program Halatuju Sektor Pertanian Terengganu Untuk Masa Hadapan, di Dewan Perdana Al-Wathiqu Billah, di sini, semalam.

Untuk rekod, pada tahun 2021, sekitar 600 orang nelayan telah mendapat kelulusan khas lesen telah diserahkan oleh kerajaan negeri

Dalam pada itu katanya, Kuala Nerus merupakan antara kawasan lautnya yang diberikan tumpuan khas bagi menjayakan program melabuhkan unjam dan tukun.

"Jangan sampai ada yang memonopoli sehingga menjadi hak peribadi, kerana ia merupakan milik kerajaan yang diperuntukkan kepada semua nelayan negeri ini, sebaliknya tukun dan unjam ini adalah milik bersama," katanya.