• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

‘Bermainlah Demi Lencana Di Dada’ – Zairo Anuar

Zairo Anuar Zailani.
KUALA TERENGGANU, 27 September – Menjelang suku akhir kedua Piala Malaysia, bekas kapten skuad Penyu, Zairo Anuar Zailani mahu pemain Terengganu bermain dengan sepenuh hati menentang Johor Darul Takzim (JDT) malam esok.

Ujarnya, walaupun bermain di stadium keramat JDT dan ketinggalan 0-1 mengikut aggregat, ia tidak bermaksud pasukan Terengganu telah mengaku kalah atau tersungkur daripada persaingan.

“Bermainlah sepenuh hati demi lencana di dada dan ingatlah kepada setiap peminat yang selalu memberi sokongan,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Zairo yang juga bekas pemain kebangsaan turut menegaskan, kunci untuk meraihkan kejayaan dalam perlawanan adalah memberikan fokus terhadap segala perancangan jurulatih.

 “Apa yang penting, setiap pemain harus fokus dalam 90 minit permainan dan dengar setiap arahan serta taktikal jurulatih, bagi 100 peratus untuk kalahkan JDT, Insya-Allah kita mampu.

“Setiap pemain mesti beraksi lebih baik malam esok lebih-lebih lagi Stadium Larkin adalah kubu kuat JDT.

“Saya yakin keupayaan pemain Terengganu, mereka mampu mengatasi JDT malam esok untuk melayakkan mereka ke separuh akhir,” tambahnya.

Untuk rekod, Zairo merupakan skuad emas Terengganu yang berjaya merangkul Piala Malaysia pada tahun 2001 di bawah bimbingan Mat Zan Mat Aris.


Tag: