• 17 Apr 2024 | 8 Syawal 1445

Bernama Radio, Manis FM Terbit Program ‘Khabar Pantai Timur’

KUALA TERENGGANU, 27 Ogos – Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Radio dan Husa Network Sdn Bhd, Manis FM bakal menerbitkan program ‘Khabar Pantai Timur’ bermula 3 September ini.

Ia selepas kedua-dua entiti terbabit memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) di Wisma Darul Iman, hari ini.

Majlis menandatangani MoU menyaksikan Bernama diwakili Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif yang juga Ketua Pengarangnya, Datuk Mokhtar Hussain dan Ketua Penyiaran (TV dan Radio Bernama) Roslan Ariffin.

Manis FM pula diwakili Pengurus Besar Husa Network Sdn Bhd, Ozarizan Mohd Nor dan Pengurus Operasi Husa Network Sdn Bhd Zaid Talib.

Mokhtar Hussain.

Turut hadir menyaksikan detik bersejarah itu ialah Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri Mohd Nor Hamzah.

Program bual bicara ‘Khabar Pantai Timur’ mengetengahkan isu semasa, perniagaan dan keusahawanan yang akan bersiaran selama 30 minit di Bernama Radio dan Manis FM setiap Khamis pukul 7.30 pagi selama 13 minggu.

Jalinan itu turut mengetengahkan usahawan berjaya sebagai pencetus inspirasi, malah ia membuka ruang kepada usahawan baharu terutamanya masyarakat yang terlibat dalam bidang pertanian dan Industri Kecil Sederhana (IKS).

Kerjasama antara Bernama Radio dan Manis FM dicetuskan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah selepas melakukan lawatan kerja ke Terengganu baru-baru ini bertujuan memantapkan pengisian dalam bidang perniagaan dan keusahawanan.


Tag: