• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Berpuluh Tahun Cuci Baju Guna Tangan, Keluarga Pekebun Dibantu

SETIU, 18 November - Seorang pekebun tepi rumah, Che Nik Ibrahim meluahkan perasaan terharu apabila menerima sumbangan mesin basuh daripada Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail

Katanya, berpuluh tahun sebelumnya, dia terpaksa membasuh pakaian hanya dengan menggunakan kudrat sendiri untuk keluarganya kerana tidak mampu membeli sebuah mesin mencuci.

“Saya gembira di atas pemberian ini dan sangat bersyukur, sebelum ini saya hanya membasuh baju dengan tangan sahaja di luar rumah.

"Terima kasih atas keprihatinan Pegawai Penyelaras DUN Batu Rakit dan Jawatankuasa Pembangunan Komuniti Kampung disini,” katanya yang juga ibu kepada seorang anak Orang Kurang Upaya (OKU).

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika diziarahi Pegawai Penyelaras DUN berkenaan untuk menyampaikan bantuan berkenaan, di kediamannya baru-baru ini.

Shafizi memaklumkan selain menyampaikan bantuan mesin basuh berkenaan, rumah penerima berkenaan juga baru sahaja dibalik pulih melibatkan ruang tamu dan bilik tidur.

"Saya berharap dengan sumbangan ini akan meringankan beban atau urusan keluarga,” ujarnya.

Katanya tindakan yang diambilnya dalam menggembirakan rakyat di DUN tersebut setelah menerima aduan daripada Jawatankuasa Pembangunan Komuniti Kampung (JPKK) Kampung Maras Hilir yang menyatakan ada seorang pekebun yang juga merupakan suri rumah memerlukan bantuan mesin basuh.

"Dengan syarat-syarat yang dipenuhi, kami menyerahkan sebuah mesin basuh dengan segera untuk kegunaan hariannya sekeluarga,” katanya.