• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Bersama Bendung Rasuah, Tingkat Integriti

KUALA TERENGGANU, 27 November- Kerajaan negeri hari ini mengadakan Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sempena Perasmian Penutup Bulan Integriti Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2022 di Wisma Darul Iman.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, penganjuran majlis tersebut merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Negeri bagi membendung permasalahan rasuah dan meningkatkan integriti di kalangan penjawat awam di samping menyokong usaha Kerajaan Persekutuan dalam memerangi rasuah.

“Usaha memerangi rasuah dan meningkatkan integriti haruslah sentiasa dijadikan agenda utama khususnya di peringkat organisasi.

“Ini termasuk dengan melaksanakan pelbagai program kesedaran, pemerkasaan kawalan dalaman serta mengenakan tindakan yang tegas terhadap mana-mana warga kerja yang melakukan kesalahan tatatertib mahupun jenayah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Bulan Integriti Peringkat Negeri di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.

Turut hadir, Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Razali Che Ani; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Rozali Salleh Dan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu, Tuan Ruslan Che Mat.

Justeru katanya, warga perkhidmatan awam Negeri Terengganu hendaklah sentiasa berintegriti, bertanggungjawab dan profesional dalam melaksanakan amanah dan tugasan.

“Selain itu, penjawat awam juga perlu menolak dan mencegah sebarang perlakuan yang boleh mencemarkan maruah seperti penipuan, rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa,” ujarnya.

Katanya, mereka seharusnnya bersama-sama menyemai benih integriti di dalam pelaksanaan program-program jabatan dan memberi contoh integriti yang baik berasaskan kepimpinan melalui teladan.