• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Bersatu Bina Negara Berasaskan Semangat Federalisme

KUALA TERENGGANU, 30 Ogos - Semua pihak khususnya rakyat digesa bersatu dan bergerak ke hadapan untuk membina negara berasaskan semangat federalisme dan patriotisme.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata sekarang bukan masa untuk rakyat saling berbalah satu sama lain serta berpolitik siang dan malam yang tidak menguntungkan dan mengheret kepada persengketaan.

"Sebaliknya semua rakyat terus mara ke hadapan untuk membina negara berasaskan perpaduan nasional, semangat federalisme dan patriotisme.

''Alhamdulillah hari ini negara kita mampu berdiri teguh sebagai negara merdeka, berdaulat dan majmuk dengan pelbagai kaum.

''Sebagai rakyat Malaysia, perlunya kita bersatu padu bagi mengekalkan keamanan yang kita nikmati ini agar tidak diganggu-gugat oleh anasir yang boleh merosakkan perpaduan negara tercinta,'' ujarnya.

Beliau berkata demikian menerusi Perutusan Hari Kebangsaan 2023 Menteri Besar, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, generasi pada hari beruntung atas kesungguhan generasi terdahulu memperjuangkan kemerdekaan negara setelah dijajah dan ditakluk sekian lama.

''Sungguh generasi hari ini amat beruntung kerana perjuangan, perit dan jerih generasi terdahulu telah menghadiahkan kita sebuah nikmat kemerdekaan yang amat bermakna.

''Kita perlu akui dan menerima hakikat bahawa Malaysia sebuah negara yang unik dengan rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum hasil penyatuan daripada 14 buah negeri. Keunikan inilah yang menjadikan kita istimewa dan terbilang di mata dunia,''ujarnya.

Dalam pada itu beliau turut menyeru seluruh rakyat Terengganu agar sentiasa mensyukuri nikmat kemerdekaan ini untuk bersatu padu membangunkan negeri dan negara tercinta ini.

''Selamat menyambut Hari Kebangsaan 2023 kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya rakyat Terengganu. 

''Merdeka! merdeka ! Merdeka !,'' Ujarnya lagi.


Tag: