• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Bersatu Dalam Ringankan Masalah Rakyat Semasa Krisis Air

Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU, 9 Ogos - Pemimpin, masyarakat serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam negeri harus berganding bahu dalam menghadapi masalah khususnya mendepani masalah bekalan air yang berlaku di Kuala Nerusndan Kuala Terengganu.

Pengerusi Badan Bukan Kerajaan (NGO) Muafakat Sejahtera, Dato' Yahaya Ali berkata, ia sedikit sebanyak membantu memastikan sumber asas bagi komuniti di daerah itu dapat diteruskan.

"Alhamdulillah, saya dapat turut sama hadir bersama NGO Muafakat Sejahtera menyampaikan sumbangan air kepada rakyat terkesan di dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Seberang Takir dan Batu Rakit.

"Sumbangan ini tidaklah besar berbanding dengan kesusahan yang dihadapi oleh rakyat, namun ia diharapkan dapat memudahkan mereka yang keputusan sumber air sejak isnin lalu," jelasnya.

Beliau yang juga Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas program mengagihkan sumbangan tersebut di Pusat Operasi bekalan air bersih di DUN Batu Rakit, pada semalam.

Turut hadir sama ialah Pegawai Penyelaras DUN Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab, Pegawai Penyelaras DUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail, Timbalan Pengerusi NGO Muafakat Sejahtera, Sulong Abd Rashid serta Pegawai Penyelidik pejabat DUN Terengganu, Khairul Nizam Suhaimin

Menurutnya, masalah air akibat paip di dasar Sungai Terengganu pecah merupakan satu ujian Allah swt, namun pentingnya adalah bagaimana tanggungjawab yang telah dilaksanakan oleh kepimpinan.

'Kepimpinan turun bersama dengan jentera untuk mengurangkan krisis ini, saya nampak ada satu bentuk kerjasama yang baik di kalangan semua pihak samada daripada Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) sendiri," ujar beliau.

Sementara itu, beliau turut meninjau sendiri kerja-kerja membaik pulih kerosakan paip air yang dimulakan pada Rabu lalu di Losong.

"Dalam taklimat yang diberikan tadi, dimaklumkan bahawa masalah air ini akan pulih semula dijangka selesai pada rabu ini, insya-Allah," katanya.

Justeru itu, beliau berharap rakyat di kawasan terjejas ketiadaan air agar dapat bersabar dan terus berdoa agar tugas jurutera dan penyelam dapat dipermudahkan.