• 26 Jul 2021 | 16 Zulhijah 1442

Bertahun Terdedah Bahaya, Jambatan Baharu Akhirnya Dibina

Oleh : Faris Ameir Ibrahim

SETIU, 30 April - Pembinaan jambatan baharu di Kampung Sungai Lerek melegakan pengguna jalan raya terutamanya penduduk tempatan setelah sekian lama mereka berdepan risiko akibat infrastruktur terbabit yang tidak sempurna. 

Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, projek berjumlah RM5.2 juta bagi menggantikan jambatan sempit yang sedia ada itu telah dimulakan.

“Kawasan ini sering berlaku kemalangan disebabkan keadaan jambatan yang sempit dan laluan yang menuruni bukit bagi kenderaan yang datang dari arah utara.

“Kelulusan pembinaan jambatan ini diperolehi pada akhir tahun 2019 melalui permohonan surat rasmi yang saya hantar kepada mantan Menteri Hal Ehwal Ekonomi ketika itu, semasa Sidang Dewan untuk Belanjawan 2020,” katanya kepada UPDI kelmarin.

Mengulas lanjut, Shaharizukirnain berkata, ketika siding itu beliau telah memohon enam projek untuk kesejahteraan rakyat.

“Namun hanya tiga yang diluluskan, antaranya bina baru jambatan Sungai Lerek dengan kos RM 5.2 juta dan bina baru jambatan Desa Jaya Sungai Tong dengan kos yang hampir sama.

“Jambatan Desa Jaya dalam proses untuk iklan tender dalam masa terdekat selepas beberapa masalah teknikal diselesaikan,” tambah beliau.

Selain itu juga jelasnya, kawasan ‘blackspot’ di sempadan Setiu iaitu di Felda Belara dan di selekoh bahaya Sungai Tong turut mendapat perhatian pihaknya.

“Yang mana projek membaikpulih telah diluluskan dan diperuntukan sebanyak RM400 ribu bagi setiap satu,” tambah beliau.


Tag: