• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Bertanding Atau Tak, MB Serah Kepada Parti

MARANG, 10 Mei – Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyerahkan sepenuhnya kepada kepimpinan tertinggi parti bagi menentukan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Beliau yang merupakan Naib Presiden Parti Islam Semalaysia (PAS) berkata, setiap penggerak ataupun jemaah kepimpinan haruslah mengikut segala apa yang ditetapkan keputusan tertinggi parti.

Katanya, beliau sedia bertanding di mana-mana kawasan yang akan ditetapkan nanti.

“Saya tidak boleh untuk membuat keputusan itu walaupun saya naib Presiden PAS kerana apa jua keputusan adalah ditentukan oleh kepimpinan tertinggi Parti,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Sidang Media Majlis Hari Raya Aidilfitri DUN Rhu Rendang bertempat di Pantai Peranginan Kelulut, di sini semalam.

Tambah Dr Samsuri, agihan kerusi DUN bagi Perikatan Nasional (PN) di enam negeri melibatkan PAS, Bersatu dan Gerakan belum selesai dan masih di peringkat perundingan.

“Perbincangan terakhir agihan kerusi itu akan diadakan dalam tempoh terdekat selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri,” ujarnya.

Untuk rekod, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, Ahmad Samsuri memenangi kerusi DUN Rhu Rendang selepas memperoleh 13,851 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Nik Dir Nik Wan Ku (7,823 undi) dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Sarawi Sulong (729 undi).

 

 

 

 


Tag: